Assalamualaikum w.b.t.
Di sini ada sedikit perkongsian berkaitan maklumat asas tentang Pusat Sumber Sekolah.
Semoga bermanfaat hendaknya.
Definisi
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan pusat perkhidmatan akses maklumat
bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan dalam bentuk bahan
cetak, bukan cetak dan digital. PSS perlu diurus secara sistematik dan
efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan
pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Dasar Pusat Sumber
Dasar Pengurusan Pusat Sumber Sekolah diwujudkan untuk memastikan Pusat
Sumber Sekolah mempunyai koleksi yang menepati piawaian dan terkini,
diurus dengan cekap dan berkesan, dan digunakan secara optimum bagi
meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
Strategi Pelaksanaan Dasar PSS pula adalah seperti berikut:
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai kemudahan fizikal dan infrastruktur yang sesuai dan memenuhi fungsi dan peranannya.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan yang menepati piawai dan terkini.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan dengan cekap dan berkesan sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan oleh Guru Perpustakaan
dan Media yang menepati syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan
dalam pekeliling semasa.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah sentiasa meningkatkan usaha untuk
melaksanakan aktiviti penggalakan membaca dan literasi maklumat dalam
meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
Objektif Pusat Sumber Sekolah
• Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai
format bagi membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat
yang efektif dan pemikir yang kritis
• Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama kepada semua warga sekolah
• Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi
maklumat, pembelajaran, penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK)
• Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat
Peranan Pusat Sumber Sekolah
Sebagai :-
• Pusat Ilmu
• Pusat Penemuan
• Pusat Pengajaran dan Pembelajaran
• Pusat Pengajaran
• Pusat Profesional
• Pusat Hubungan Masyarakat
Fungsi Pusat Sumber Sekolah
- Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang
komprehensif, seimbang dan kemas kini yang selaras dengan keperluan
kurikulum dan memenuhi keperluan warga sekolah.
- Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau kumpulan.
- Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, penghasilan dan penggunaan maklumat.
-
Menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi.
-
Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Halatuju Pusat Sumber Sekolah di Malaysia
Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan
perkembangan ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan
cetak semata-mata (buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi
bahan berbentuk elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV,
e-book, audio book, e-jurnal, newspaper online).
Program dan halatuju PSS tidak boleh lari daripada dua dokumen berikut:
• The School Library Manifesto: The school library in teaching and learning for all (IFLA/UNESCO 2000)
• The IFLA/UNESCO School Library Guidelines (2002)
Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan PSS di Malaysia.
Jenis-jenis Perkhimatan yang patut terdapat di Pusat Sumber Sekolah
•
Perkhidmatan Sirkulasi Bahan
Sirkulasi bahan di sesebuah PSS perlu mengambil kira saiz koleksi, jumlah pengguna dan keperluan pengguna.
Sirkulasi bahan terdiri daripada:
a. Pinjaman biasa
b. Pinjaman khas
c. Pinjaman berkelompok
Sirkulasi bahan juga boleh dibuat antara PSS / perpustakaan awam
melalui pinjaman antara perpustakaan (inter-library loan) bagi memenuhi
keperluan maklumat pengguna.
•
Perkhidmatan Khidmat Nasihat / Rujukan
Khidmat nasihat / rujukan perlu diberi kepada warga sekolah berkaitan perkara berikut :
• Pemilihan bahan
• Pencarian maklumat
• Rekabentuk, pembinaan dan penggunaan bahan P&P
• Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi
• Perkhidmatan Kesedaran Semasa
PSS perlu menyediakan perkhidmatan kesedaran semasa untuk memaklumkan
kepada warga sekolah berkaitan maklumat atau judul terkini yang
terdapat di PSS.
Perkhidmatan ini boleh disediakan melalui sumber berikut :
a. laman web sekolah / PSS
b. keratan akhbar
c. muka surat kandungan majalah
d. bibliografi beranotasi
e. senarai bahan terkini
f. abstrak dan indeks bahan terpilih
g. pangkalan data bibliografi sumber PSS
h. pameran buku baru
• Perkhidmatan Pendidikan Pengguna
Program pendidikan pengguna perlu disediakan secara terancang dan
berterusan untuk memaklumkan warga sekolah berkaitan program, aktiviti
dan perkhidmatan PSS di samping memberi kemahiran kepada mereka
berkaitan penggunaan kemudahan PSS dan pencarian maklumat.
•
Perkhidmatan Papan / Sudut Maklumat
Akses kepada maklumat sekolah / PSS perlu disediakan melalui papan / sudut maklumat yang ditempatkan di lokasi yang strategik.
• Perkhidmatan Pengurusan Sumber Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan mengikut keperluan dan kemampuan
sekolah. Akses kepada pangkalan data sumber maklumat pelbagai bidang
ilmu sama ada dalam atau luar negara perlu disediakan melalui laman web
sekolah atau PSS.
• Perkhidmatan kemudahan bilik / ruang
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran. Perkhidmatan yang boleh disediakan oleh PSS
adalah seperti berikut :
• Bilik Tayangan / Audio Visual / Multimedia
• Pusat Akses Kendiri
• Sudut Bercerita / Aktiviti
• Sudut / Bilik Perbincangan
• Bilik Rakaman
• Perkhidmatan Reprografi
Perkhidmatan ini disediakan untuk percetakan, memuat turun maklumat digital dan membuat salinan bahan.
• Perkhidmatan Akses Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk mengakses maklumat menggunakan kemudahan Internet atau Intranet.
Program Utama Pusat Sumber Sekolah
Terdapat dua program utama PSS iaitu
1. Program galakan membaca
2. Program literasi maklumat.
Semua aktiviti yang dirancang perlu menjurus ke arah
pelaksanaan program ini dan perlu mengikut pekeliling-pekeliling ikhtisas yang tertentu.
Perancangan Kewangan Pusat Sumber Sekolah
Pengetua / Guru Besar perlu memaklumkan jumlah PCG dan Yuran Khas
Sekolah yang diterima bagi tahun semasa kepada GPM bagi membolehkannya
merancang aktiviti tahunan yang dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah.
Rancangan belanjawan perlu dirancang secara teliti berdasarkan
rancangan pembangunan jangka panjang dan rancangan tahunan PSS. Laporan
kewangan tahunan mestilah mengambarkan penggunaan kewangan PSS dan
pencapaian objektif.
Rancangan belanjawan perlu merangkumi komponen-komponen berikut:
• Jumlah kewangan tertentu untuk sumber baru (contoh: buku, majalah
dan bahan bukan bercetak); sejumlah kewangan untuk bahan promosi
(contoh: poster)
• Jumlah kewangan tertentu untuk alat tulis dan bahan pentadbiran
• Jumlah kewangan tertentu untuk aktiviti galak guna dan promosi
• Kos untuk kegunaan dan penyelenggaraan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi
Sumber Kewangan Pusat Sumber Sekolah
Sumber kewangan Pusat Sumber Sekolah terdiri daripada:
• Geran Bantuan Per kapita (PCG)
• Yuran Khas Sekolah
• Sumbangan PIBG
Geran Bantuan Per Kapita (PCG)
a. Geran Bantuan Per Kapita (PCG) PSS bagi sekolah rendah dan sekolah
menengah ditetapkan oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Panduan dan tatacara perbelanjaan PCG hendaklah merujuk kepada :
•
Surat
Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2010 - Garis Panduan Pengurusan
Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Kepada Sekolah Berdasarkan Per
Kapita Murid bertarikh 24 Disember 2010
• Surat Pemberitahuan Ralat SPK Bilangan 8 Tahun 2010 bertarikh 17 Januari 2011
ATAU
• Pekeliling Kewangan yang sedang berkuat kuasa
b. Kadar PCG meliputi perbelanjaan bagi PSS seperti berikut:
• Pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran
• Pembelian buku, perisian dan lain-lain yang bersesuaian untuk pengajaran dan pembelajaran
• Penyelenggaraan peralatan termasuk komputer yang digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran
• Program berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
• Program Pendidikan Khas Integrasi – Melengkapkan stesen pembelajaran bagi program pendidikan khas integrasi
• Perolehan / pembelian Harta Modal adalah dibenarkan dengan
menggunakan peruntukan PCG mata pelajaran dan bukan mata pelajaran bagi
kegunaan pengajaran dan pembelajaran
c. Peruntukan PCG bagi tahun semasa perlu dibelanjakan secara optimum
Yuran Khas Sekolah
Yuran Khas Sekolah ialah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan
kepada sekolah. Sekolah rendah menerima RM 4.50 bagi setiap murid
manakala sekolah menengah menerima RM 9.00 bagi setiap murid. Peruntukan
ini digunakan untuk program dan aktiviti PSS, pendidikan jasmani dan
pendidikan seni. Rujuk Surat Pekeliling Kewangan Bil.3/2008: Peruntukan
Yuran Khas Sekolah bertarikh 7 Januari 2008.
Sumbangan PIBG
PSS boleh memohon sumbangan daripada PIBG bagi membangun dan meningkatkan kualiti perkhidmatan PSS.
Bagaimana Pusat Sumber Sekolah dinilai
Petunjuk prestasi ialah alat pengukuran yang digunakan untuk memantau dan menilai pencapaian prestasi.
Petunjuk prestasi yang boleh digunakan untuk memantau dan menilai pencapaian prestasi PSS adalah seperti berikut:
Petunjuk penggunaan
• Pinjaman oleh setiap warga sekolah
• Jumlah pengunjung
• Pinjaman setiap bahan (contoh: pertukaran bahan)
• Pinjaman setiap waktu operasi (contoh : semasa dan selepas waktu sekolah)
• Pertanyaan rujukan oleh warga sekolah
• Penggunaan bilik dan peralatan
Petunjuk sumber
• Nisbah koleksi buku untuk setiap murid
• Nisbah komputer bagi setiap murid
Petunjuk kualitatif
• Aduan dan maklum balas pelanggan
• Keceriaan
• Ciri-ciri Keselamatan
Petunjuk kos
• Kos bagi melaksanakan program dan aktiviti PSS
• Kos bagi perolehan bahan daripada jumlah PCG
• Kos bagi promosi PSS
• Kos untuk pembelian hadiah galakan membaca
• Kos untuk pembangunan PSS
• Kos untuk keceriaan PSS
Petunjuk perbandingan
• Perbandingan data penarafan PSS antara sekolah ahli Pusat Kegiatan Guru
• Perbandingan jumlah penggunaan PSS dan pinjaman bahan antara PSS Sekolah A dan Sekolah B
# Sumber rujukan : http://bibliografi.moe.edu.my/SumberPendidikan/index.php/faqs/212-pusat-sumber-sekolah-pss.html